Friday, January 8, 2010

HUKUM & KELEBIHAN MENGHAFAZ AL QURAN

Al-Quran yang terdiri daripada 114 surah dan 30 juzuk merupakan satu-satunya kitab suci yang boleh dihafaz secara keseluruhan. Ini adalah suatu kelebihan kepada umat baginda Rasulullah S.A.W. dan penghafazan al-Quran adalah rahmat daripada Allah S.W.T. Jika dibandingkan dengan buku-buku lain yang sama tebal dan besarnya, menghafaz satu buku, setengah buku atau pun seperempat buku adalah sukar dan hampir-hampir mustahil. Allah S.W.T. menyifatkan penghafaz al-Quran sebagai hamba hamba pilihannya. Hal ini dinyatakan menerusi firmanNya:

"Dan apa yang Telah kami wahyukan kepadamu yaitu Al Kitab (Al Quran). Itulah yang benar, dengan membenarkan kitab-kitab yang sebelumnya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha mengetahui lagi Maha melihat (keadaan) hamba-hamba-Nya.

Kemudian Kitab itu kami wariskan kepada orang-orang yang kami pilih di antara hamba-hamba kami, lalu di antara mereka ada yang menganiaya diri mereka sendiri dan di antara mereka ada yang pertengahan dan diantara mereka ada (pula) yang lebih dahulu berbuat kebaikan dengan izin Allah. yang demikian itu adalah karunia yang amat besar."
(Fatir:31-32)



Ayat-ayat yang lain juga menyatakan bahawa al-Quran diturunkan dengan menerusi hafazan secara beransur-ansur lebih kurang 23 tahun. Ayat-ayat yang dimaksudkan adalah:

"Kami akan membacakan (Al Quran) kepadamu (Muhammad) Maka kamu tidak akan lupa, Kecuali kalau Allah menghendaki. Sesungguhnya dia mengetahui yang terang dan yang tersembunyi. " (al-A'la:6-7)
"Dan Sesungguhnya Telah kami mudahkan Al-Quran untuk pelajaran, Maka Adakah orang yang mengambil pelajaran?" (al-Qamar:17)

"Maka Maha Tinggi Allah raja yang sebenar-benarnya, dan janganlah kamu tergesa-gesa membaca Al qur'an sebelum disempurnakan mewahyukannya kepadamu, dan Katakanlah: "Ya Tuhanku, tambahkanlah kepadaku ilmu pengetahuan." (Taha:114)

Daripada ayat-ayat di atas, tidak ada satu pun isyarat yang menyatakan bahawa menghafaz al-Quran itu hukumnya wajib. Oleh yang demikian menghafaz al-Quran bukanlah sesuatu yang wajib ke atas setiap muslim.

Menurut Ismail Masyhuri al-Hafiz (1993: 87-90), di antara kelebihan-kelebihan lain yang diperolehi oleh penghafaz al-Quran adalah selalu dilindungi oleh Allah S.W.T, menjadi umat Nabi Muhammad yang mulia, tidak merasa takut pada hari kiamat dan doanya akan dimakbulkan oleh Allah S.W.T. Selain itu juga, mereka yang menghafaz al-Quran juga merupakan mereka yang paling layak untuk menjadi imam serta dipermudahkan segala urusan mereka. Allah S.W.T juga mengurniakan nikmat kelebihan ilmu yang dikurniakan kepada para nabi kepada para huffaz serta diberikan kelebihan pada hari akhirat kelak untuk memberikan syafaat kepada 10 orang daripada ahli keluarganya.

Selain itu, kedudukan mereka yang menghafaz al-Quran juga tinggi di sisi Allah S.W.T dan mereka akan diberikan kelebihan sebagai pemimpin kepada ahli-ahli syurga. Mereka juga akan ditempatkan bersama para malaikat dan diangkat darjat mereka di dalam syurga kelak. Kelebihan para huffaz ini juga, mereka akan terlepas daripada menerima azab seksa daripada Allah S.W.T pada hari pembalasan nanti.

Walau bagaimanapun memandangkan betapa pentingnya menghafaz al-Quran bagi menjaga keaslian dan kesuciannya maka ulama telah bersepakat bahawa menghafaz al-Quran itu hukumnya fardu kifayah. Imam Badr al-Din Muhammad bin 'Abdillah al-Zarkasyi di dalam bukunya al-Burhan fil Ulum al-Quran (Juzuk 1: 271) menyatakan:

“Mempelajari al-Quran hukumnya adalah fardu kifayah, demikian juga memeliharanya (iaitu menghafaznya) maka ia juga wajib (kifayah) bagi setiap umat.”

Perkara yang sama juga dinyatakan oleh Abdul Aziz Abdul Rauf (1994:90) di dalam bukunya Kiat Sukses Menjadi Hafidz al-Quran Da'yah seperti berikut:
"Sesungguhnya menghafaz al-Quran di luar kepala (maksudnya dengan lancar) itu adalah fardu kifayah.”

Menurut pandangan al-Sharbini (1995: 12) menghafaz al-Quran adalah suatu fardhu kifayah dan ia termasuk suatu usaha untuk melengkapkan pengetahuan agama daripada ilmu-ilmu syara’ seperti menghafaz al-Quran. Imam an-Nawawi menambah, orang yang melaksanakan fardhu kifayah adalah lebih istimewa daripada orang yang menunaikan tanggungjawab fardhu ain kerana ia telah melepaskan bebanan yang ditanggung oleh masyarakat. Fardhu kifayah lebih utama daripada fardhu ain kerana orang yang melaksanakannya telah menyelesaikan permasalahan ummah dan telah menggugurkan bebanan ummah sedangkan fardhu ain hanyalah terbatas ke atas individu pelaksananya sahaja.

Hukum fardu kifayah ini bermakna sekiranya sudah ada di antara kaum muslimin di suatu tempat yang menghafaz al-Quran, maka lepaslah tanggungjawab kesemua masyarakat tersebut dari kewajipan itu. Sebaliknya jika tiada seorang pun yang menghafaznya maka seluruh kaum muslimin pada tempat tersebut akan menerima dosa.

Dipetik daripada : www.tahfizabada.com

0 comments: