Monday, August 11, 2014





"Melentur Buluh Biarlah Dari Rebungnya"


Dengan ini PROFAZ Club membuka kelas Al-Quran, mengajar atau menghafaz Al - Quran juzuk amma, untuk kanak-kanak dengan 2 pakej pilihan samada pakej Iqra' ataupun pakej tahfiz. Objektif kami untuk melahirkan junior-junior generasi Al-Quran.

Dari Hadith nabi menyebutkan;

حَدَّثَنَا الْقَعْنَبِيُّ عَنْ مَالِكٍ عَنْ أَبِي الزِّنَادِ عَنْ الْأَعْرَجِ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كُلُّ مَوْلُودٍ يُولَدُ عَلَى الْفِطْرَةِ فَأَبَوَاهُ يُهَوِّدَانِهِ وَيُنَصِّرَانِهِ كَمَا تَنَاتَجُ الْإِبِلُ مِنْ بَهِيمَةٍ جَمْعَاءَ هَلْ تُحِسُّ مِنْ جَدْعَاءَ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ أَفَرَأَيْتَ مَنْ يَمُوتُ وَهُوَ صَغِيرٌ قَالَ اللَّهُ أَعْلَمُ بِمَا كَانُوا عَامِلِينَ
(رواه أبو داود)

Menceritakan kepada kami Al-Qa’nabi dari Malik dari Abi Zinad dari Al–A’raj dari Abu Hurairah berkata Rasulullah saw bersabda : “Setiap bayi itu dilahirkan atas fitroh maka kedua orang tuanyalah yang menjadikannya Yahudi, Nasroni sebagaimana unta yang melahirkan dari unta yang sempurna, apakah kamu melihat dari yang cacat?”. Para Sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah bagaimana pendapat tuan mengenai orang yang mati masih kecil?” Nabi menjawab: “Allah lah yang lebih tahu tentang apa yang ia kerjakan”. (H.R. Abu Dawud)

Semoga program ini bermanfaat untuk semua anak-anak kita.
Untuk maklumat lanjut boleh hubungi no. tertera di poster.

Like Our page for more information too: 

https://www.facebook.com/profaziiumkuantan
...read more

Sunday, March 23, 2014

Konflik Republik Afrika Tengah Menggamit Perhatian Dunia

         
            Apa sebenarnya yang berlaku di sana? Sedang Malaysia menghadapi pelbagai isu ekonomi, politik, kesihatan dan baru-baru ini isu misteri kehilangan pesawat MH370, Afrika Tengah terus dibelenggu siri-siri pembunuhan yang masih buta kemanusiaan. Afrika Tengah ialah sebuah negara republik yang lebih dikenali sebagai Republik Afrika Tengah. Apakah negara republik? Republik ialah sebuah sistem yang menolak institusi beraja dimana kerajaan diketuai oleh presiden yang dipilih oleh rakyat melalui pilihan raya dan presiden memegang jawatan sebagai ketua kerajaan dan ketua negara.

            Central African Republic (CAR) ataupun Republik Afrika Tengah ialah sebuah negara yang berada di dalam gugusan benua Afrika dan populasi penduduknya ialah seramai 4.525 juta. Komposisi agama bagi penduduknya pula ialah 25% Kristian Katolik, 25% Kristian Protestan, 15% Islam dan 35% menganut agama nenek moyang[1].

Rusuhan-Di-Afrika Tengah
                                                http://wanfauzi.com/rusuhan-anti-muslim-di-afrika-tengah/

             Selepas merdeka daripada jajahan Perancis pada tahun 1960, CAR menghadapi 8 kudeta[2]. Pada Mac 2013,  kumpulan Seleka, terdiri daripada kumpulan militan Muslim utara CAR, Chad dan Sudan telah melakukan kudeta ke atas Presiden Bozize atas sebab tidak puas hati dengan kerajaan Bozize yang mengabaikan komuniti  Muslim di utara CAR. Maka dengan itu, ketua kepada kudeta iaitu Michel Djotodia mengangkat sumpah menjadi Presiden. Dia merupakan Presiden Muslim pertama di negara itu. Walaubagaimanapun, harapkan pagar, pagar makan padi. Pelbagai jenayah kemanusiaan terhadap komuniti Kristian pula dilakukan terutamanya di ibu kota CAR, Bangui.

            Tidak lama selepas itu, pada September 2013, Michel Djotodia membubarkan kumpulan militan Seleka dan ahlinya diserap masuk ke tentera CAR. Namun, ada di antara ahlinya yang ingkar dan membantah untuk meletakkan senjata. Mereka ini digelar Ex-Seleka. Pada ketika itulah, warga Kristian CAR bangun untuk membalas dendam terhadap perbuatan kumpulan Seleka lalu mereka mewujudkan kumpulan militan anti-Balaka atau sinonimnya ialah anti-Pedang. Keadaan bertambah kronik apabila mereka tidak mengiktiraf Muslim sebagai warganegara CAR dan Muslim mesti dihapuskan. Sehingga hari ini, negara jiran, Chad telah menerima lebih 70 ribu pelarian CAR dan beribu-ribu Muslim telah terkorban[3].



                                    http://ping.busuk.org/v/550262/muslim-di-republik-afrika-tengah-dibunuh-kejam.html


            Faktor utama yang dilihat berlakunya konflik ini adalah kerana tindakan melulu menghukum sendiri atau terma Inggerisnya ialah lynching. Kedua-dua belah pihak, iaitu Seleka dan anti-Balaka sama-sama menghukum sendiri sehingga tercetuslah pembunuhan dan eksodus mega di sana. Oleh kerana ahli keluarga Kristian dibunuh oleh kumpulan Seleka, maka kesemua minority Muslim yang tidak bersalah turut terpalit kesalahan yang sama walaupun mereka hanyalah perempuan dan bayi. Mereka (Muslim) mesti dihalau dan dihapuskan menurut anti-Balaka.

            Memetik perenggan daripada artikel theguardian[4] yang bertajuk, ditulis oleh David Smith yang kini berada di Bangui, iaitu ibukota CAR, menurut Sebastian Wenezoui, 32, jurutera sivil, berkata dia membantu Anti-Balaka selepas ibu bapa dan saudaranya dibunuh oleh Seleka dan rumah dibakar. “Saya terkejut. Hari ini kamu boleh lihat perasaan saya dalam apa yang sedang buat sekarang. Saya mesti ekspresikan diri saya. Kalau kamu di tempat saya, adakah kamu akan selesa dengan semua yang berlaku?”

            Apabila ditanya tentang pembunuhan wanita dan kanak-kanak yang tidak berdosa kepadanya, Wenezoui menjawab: “ Bagi saya ia adalah jawapan kepada apa yang telah Seleka lakukan. Mereka yang mula membunuh kanak-kanak dan para wanita dan memusnahkan rumah-rumah kami. Dendam itu baik kadangkala dan buruk kadangkala. Tetapi kami mesti melakukannya.” 

            Wenezoui meluahkan rasa tidak kesal berkenaan eksodus; perpindahan beramai-ramai Muslim. “ Saya tidak berasa sedih langsung kerana ketika Seleka memerintah orang Islam, yang mana dulunya sahabat karib kami, adalah mereka yang memusnahkan rumah kami dan membunuh. Ini adalah satu pengajaran. Mereka berlagak sebagai pengkhianat jadi mereka mesti pergi dan belajar sesuatu dan pulang ke sini dengan tingkahlaku yang lebih dihormati.”

            Pelbagai misi ketenteraan pengaman dari negara luar telah hadir untuk membantu ketegangan yang berlaku. Antaranya ialah African Union, United Nation dan Europian Union. Perancis juga turut menghantar tenteranya yang ‘kononnya’ hadir untuk membantu CAR namun sebaliknya berlaku. Banyak video di laman Youtube merakam perbuatan tentera-tentera Perancis di sana.

               Pada 8 Mac 2014, Muhammad Said Ismail, salah seorang pemimpin muslimin dan bekas penasihat Presiden CAR, mengatakan bahawa Perancis yang membuat fitnah antara muslimin dan kristian di Afrika Tengah.

            Beliau menyatakan dalam rancangan Without Borders di Al-Jazeera bersama dgn pengacara Ahmed Mansour, "Dewan Keamanan memutuskan tentera Afrika dengan bantuan pasukan Perancis memasuki Afrika Tengah untuk menjaga keamanan. Akan tetapi pasukan Perancis telah melucuti senjata muslim dan membiarkan senjata di tangan kaum kristian" kata beliau. Beliau mengatakan lagi bahawa kaum Kristian telah mengoyak Al-Quran, membunuh ratusan muslimin dari kalangan wanita dan orang tua dan menghancurkan lebih dari 350 Masjid dengan bantuan tentara salib Perancis.

            Dek kerana kegagalan Michel Djotodia menangani konflik ini, beliau ditekan oleh ketua-ketua daerah dan akhirnya meletak jawatan. Dan bermula sejak itu, Catherine Samba-Panza mengambil alih jawatannya sebagai Presiden Interim. Beliau yang berkedudukan neutral menyeru kumpulan ex-Seleka dan anti-Balaka untuk menghentikan konflik tersebut. Namun ada yang berpendapat beliau adalah boneka Perancis di mana di situlah tempat beliau melanjutkan pengajiannya  dan dengan itu memudahkannya untuk terlibat terus dengan CAR.

            Saya berpendapat bahawa sebenarnya konflik ini bukanlah konflik agama 100%, namun ini adalah konflik etnik yang berbeza agama. Dan pada pandangan saya, apabila seseorang manusia itu bertindak sesuka hatinya dalam menghukum maka keadaan sebeginilah yang akan berlaku. Dan ketika mana ajaran Islam dan Kristian tidak benar-benar difahami dan diamalkan, seperti yang sedia maklum semua agama menganjurkan keamanan dan kemanusiaan, maka manusia itu mampu berubah hatta lagaknya menandingi seekor binatang yang sangat buas. Oleh yang demikian, sikap toleransi antara agama dan keperimanusiaan amat memainkan peranan penting dalam memerintah sesebuah negara, jika diabaikan sudah pasti akan membawa kepada bencana kemanusiaan yang maha dahsyat!

            Apakah peranan yang boleh kita mainkan? Selaku mahasiswa, kecaknaan terhadap isu-isu semasa yang berlaku sama ada global atau lokal mestilah diambil peduli. Titipkanlah juga doa kalian kepada saudara seIslam di sana dan tidak dilupakan buat negara yang sedang bergelut dengan pelbagai konflik seperti Mesir, Syria, Palestin dan terbaru di Ukraine. Jika berpeluang, sumbangkanlah sedikit masa dan tenaga menyertai program-program yang dianjurkan persatuan mahasiswa selari dengan isu kemanusiaan ini.


[1] Central Intelligence Agency, https://www.cia.gov/library/publications/the-world-factbook/geos/ct.html
[2] arif-france.org, Konflik di Central African Republic (CAR)
[3] theguardian.com, Chad struggles to cope with refugees from conflict in Central African Republic
[4] theguardian.com, Christian militias take bloody revenge on Muslims in Central African Republic


Penulis : 
Siti Khadijah Abas
Mahasiswa Cakna,
Pelajar Tahun Tiga,
Jurusan Bioteknologi,
IIUM Kuantan


*"Artikel ini adalah kiriman daripada penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan editor blog PROFAZ."






...read more

Tuesday, March 11, 2014

THE GLORIOUS DAY WITH SYEIKH MUSTHAFA



[BUSYROLANA]

Assalamu'alaikum. Muslimin muslimat di jemput hadir ke program "The Glorious Day with Syeikh Musthafa" (Sehari Bersama Al-Muhaddith Al-Musnid Al-Faqih Syeikh Mustofa An-Nadwy An-Naqsyabandi). 
# Multipurpose Hall (MPH), Kuliyyah Of Medicine UIAM kuantan
#16 mac 2014 (Ahad)
#PROFESSIONAL HUFFAZ CLUB (PROFAZ)


Pengisian bersama beliau:
# Daurah Kitab Al-awail As-sunbuliyyah (40 Hadith awal daripada 40 kitab)
# Periwayatan Hadith Musalsal
# Tafsir Surah Al-fatihah
# Ijazah kitab dan amalan
# Qasidah Burdah oleh Maadiheen

InsyaAllah akan ada 3 sesi bersama beliau:
1) 9 pagi-12 tengahari
2) 2.30 petang - 5 petang
3) 8 malam - 10 malam

Terbuka kepada seluruh umat. Untuk pendaftaran sila hubungi:
Ammar Zhari : 019-4274379
Nur Aisyah Ruslan: 013-6612854




Biodata Beliau

Maulana Muhaddis Musnid Al-Faqih Syeikh Musthafa An-Nadwy An-Naqsyabandi

Nama lengkap : Maulana Muhaddis Mansurah dan Musnidnya Syeikh Abdul Karim Bin Sayyid Badawy As-Syafi`i An-Naqsyabandi Al-Asy`ari.

Tempat lahir : Kampung Sanbakht, Aga, Mansurah Mesir.

Tarikh lahir : 27 Ramadan 1374 Hijrah bersamaan 19 Mei 1955.

Bapa  : Syeikh Said Badawi Ahmad Sulaiman merupakan salah seorang daripada ulama qiraat dan ilmu-ilmu yang lain di kampungnya. Syeikh Said Badawi juga merupakan syeikh tarikat al-Qahwajiah al-Syazuliah. Nasab keturunan beliau bersambung dengan Nabi Muhammad s.a.w melalui cucu baginda Saidina Husin.Syeikh Mustafa dilahirkan dalam keluarga yang sibuk dengan Al-Quran, ilmu,ibadah dan zikir.

Adik beradik : Anak bongsu daripada 4orang adik beradik.


Latar Belakang Pendidikan

Syeikh Mustafa telah mengahafal Al-Quran dan matan-matan ilmu sejak kecil lagi di bawah bimbingan bapa dan abang sulungnya. Antara matan-matan yang dihafal oleh beliau: Matan Jazariah dan tuhfatul Atfal (Ilmu Tajwid), matan Ajurumiah, Alfiah Ibnu Malik dan Lamiatul Afa’l (Ilmu Nahu dan Sarf), Matan Jauharah (Ilmu Tauhid) matan Abi Syuja’ (Feqah) dan beberapa matan Qiraat. 

Ketika remaja Syeikh Mustafa telah memasuki sekolah sains dan mempelajari pelbagai ilmu sains tulen seperti kimia, fizik dan lain-lain. Kemudian beliau telah melanjutkan pengajiannya di kuliah perubatan Universiti Al-Asriah dan telah mendapat keputusan cemerlang. 

Di samping itu beliau telah mendalami kitab-kitab feqh syafie, tasawuf dan ilmu-ilmu lain di bawah bimbingan ayah dan abang sulungnya.

Kecintaan beliau terhadap agama telah menyebabkan beliau tidak memilih kerjaya seorang doktor, sebaliknya terus mendalami ilmu agama sehinggalah Allah memberikan beliau peluang melanjutkan pelajaran di Universiti Darul Ulum Nadwatul Ulama’. Di sini beliau telah memasuki kuliah Bahasa Arab dan mmperolehi keputusan cemerlang. 

Kemudian, beliau telah mengambil jurusan Usuludin dan Dakwah dan mendapat keputusan yang cemerlang. Setelah itu beliau telah mempelajari dan menguasai seluruh ilmu di Ma’had A’li Li Dakwah wal Fikri sehingga menjadi anak murid kebanggaan Syeikh Abu Hasan Ali Al-Nadawi. Beliau telah dicalonkan oleh Syeikh Al-Nadawi untuk mengambil PHD di Darul Nadwah dan diberikan gelaran “ Seorang yang mempunyai kealiman yang sempurna dalam Ilmu hadis”

Beliau telah diberikan ijazah dan sanad dalam pelbagai bidang ilmu oleh ulama-ulama besar Hindi, Pakistan dan Bangladesh seperti Maulana Al-kandahlawi, A’llamah Habibul Rahman Al-A’zomi, Syeikh Sodiq Ahmad Al-Nadawi dan lain-lain. Setelah itu Syeikh Al-Nadawi telah memberikan pengiktirafan kepada beliau dengan memakaikan serban kepunyaannya dan memberikan ijazah ilmu suluk dan tarbiah kepada beliau. 

Beliau juga telah diberikan ijazah dan sanad dari ulama-ulama besar Al-Azhar, Ulama-ulama’ Maghribi, Syam, Hijaz, Indonesia, Malaysia dan lain-lain.

Pujian ulama-ulama kepadanya:

1 – Syeikh Abu Hasan An-Nadwy: “ Seorang yang mempunyai kealiman yang sempurna dalam Ilmu hadis.

2 – Muhaddis Syeikh Usamah Sayyid Al-Azhari didalam bukunya Al-Buldaniyat berkata : Beliau merupakan Muhaddis Mansurah dan Musnidnya, memiliki keahlian dalam bidang ilmu hadis.

3 – Musnid Syeikh Muhammad Husni Ginting didalam bukunya Ghayatur Rusukh Fi Ghayatur :Beliau merupakan Muhaddis yang Musnid lagi faqih dan Alim.

Beruntunglah kita semua kerana ulama' mangunjungi kampus UIAMK ini. Semoga kehadiran Syeikh Musthafa ini membawa keberkatan di UIAMK. mari bersama kita meriahkan majlis ilmu ini.


PROFAZ MEMACU BUDAYA KEILMUAN
Project Manager, 
The Glorious Day with Syeikh Musthafa 2014,
MUHAMMAD AMAR ADLI BIN ARIAFF,

...read more

Monday, March 10, 2014

GAMIS PAHANG: TRAGEDI MH370


Tragedi MH370 sangat mengejutkan jutaan umat terutamanya rakyat Malaysia. 
Pesawat berlepas dari KLIA pada jam 12.40 pagi ini dan dijadualkan mendarat 
di Beijing pada jam 6.30 pagi dilaporkan hilang dari radar dan sehingga kini 
pelbagai pihak bertanggungjawab berusaha mencari dan menyelamat 
mangsa-mangsa terbabit.



GAMIS Pahang menyeru kepada semua pihak untuk memberi fokus kepada 
kerja-kerja mencari dan menyelamat. Salah-menyalah dan tunding-menunding 
kesalahan antara satu sama lain pada saat ini bukanlah tindakan yang sesuai. 
Ianya menguriskan lagi hati dan perasaan waris yang terbabit.

GAMIS Pahang juga menyeru kepada rakyat Malaysia supaya tidak menyebarkan 
sebarang berita yang tidak diketahui sumbernya berkenaan tragedi MH307. 
Walaupun kerajaan Malaysia agak lambat melaporkan keadaan terkini, 
namum tindakan menyebarkan berita yang tidak pasti kesahihan dan 
sekadar untuk menaikan ‘rating’ dan ‘like’ amatlah tidak wajar. 

GAMIS Pahang mendoakan yang terbaik kepada pasukan penyelamat 
dan mangsa kejadian. Semoga berita-berita baik sampai kepada kita.

Walaubagaimanapun, Allah swt Maha Kuasa menentukan segala yang 
berlaku diatas bumi ini.

Setiap perkara yang baik ataupun buruk, ada pengajaran yang ingin 
disampaikan dan pengajaran itu hanyalah bermanfaat kepada mereka yang berfikir..~

"Silent is Gold" 



Ahmad Hisham Bin Shamsuddin 
Majlis Politik Gamis Pahang


*"Artikel ini adalah kiriman daripada penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan editor blog PROFAZ."

...read more

Saturday, March 8, 2014

SAKSI YANG MEMBISU


            ADAKAH tidak cukup aku sebagai saksi?

Walhal aku Matahari. Mata dan hari. Signifikan mata kesaksian. Sungguh, mereka menyangka aku terpasung di paksiku sendiri. Kebebasanku dirantai orbit. Aku tidak mampu bergerak apalagi bertindak. Namun, jangan kau pernah lupa, Sistem Suria ini terbentuk kerana keberadaanku. Aku menjadi tumpu. Pusat kekuatan graviti yang menarik sekalian planet berderet mengelilingi. Hangat suriaku menyinari pekat malam kebatilan. Kewujudanku mencerah kebuntuan fikiran.  

Demi aku yang tetap di sini. Demi melihat sekian masa ditoreh hari. Kecewa julangan gas panasku yang menukar unsur hidrogen kepada helium melalui tindak balas gabungan nuklear pada kadar 600 juta tan, ternyata tidak mampu melebur banyaknya hari-hari yang membeku. Beku dek fasadnya perbuatan manusia, jumudnya ketamadunan yang mereka bina, hancur-lebur negara bilamana kezaliman bermaharajalela. Bahkan bekunya lebih statik dan kaku daripada jutaan bongkah aisberg di Kutub Utara dan Selatan.

Ada juga hari-hari yang menderu. Ada hari-hari yang pantas menoreh sejarah. Malang, tinggallah hari-hari itu menjadi gumpalan sampah. Apabila peradaban dicantas daripada sejarah. Sejarah diperalat untuk kepentingan peribadi. Sejarah dihitamkan untuk menonjol kebenaran diri. Lalu, diangkat menjadi kebenaran hakiki. Hilang pertimbangan akal manusiawi. Maka, persaksikanlah! Aku matahari menjadi saksi bahawa sejarah itu ada, kerana adanya pemuda. Sejarah itu hidup pun, kerana hidupnya pemuda. Maka, sejarah itu hanya kembali benar, apabila benarnya generasi pemuda.
            
           Dia rasa kesat. Dia berdehem-dehem. Sangkanya tekak kering merengek dibasahkan. Diteguknya lagi air syaitan itu. Serentak, kerongkong panas membakar. Teriakannya rentung, suara hangus dijilat api. Hampir sahaja dia menggelupur. Air mineral segera dicapai lalu diminum gelojoh. Ketulan-ketulan ais ditelan bulat-bulat. Perlahan, marak beransur reda. Dia tersandar lesu, mengeluh berat. Petanda apakah ini?

Bebola mata bergerak kiri dan kanan. Tiada yang kisah memandang, seolah-olah insiden itu tidak lebih daripada khayalannya. Masing-masing leka dengan keasyikan sendiri. Benar, dia tidak bermimpi. Dia menyentuh leher, masih terasa-rasa peritnya. Kepala digeleng-geleng. Runsing. Dia sendiri tidak tahu. Hari itu, jiwanya kosong. Kosong yang amat. Suasana di kelab malam itu hanya menambah gusar di hati. Insiden tadi bahkan menambah galau. Walhal, sebelum ini, di situlah segala kebebasan diperoleh. Keseronokan digapai.

Hari itu, segalanya jadi canggung. Serba tidak kena. Rentak muzik rancak membingitkan telinga. Bau arak, hanyir peluh, minyak wangi bercampur-gaul memualkan tekak. Meluat sungguh dia dengan perempuan-perempuan yang gesit menggoda, merayu, menari bersama. Pening. Kepalanya tambah berdenyut. Ditepis tangan-tangan yang cuba memegang. Dia ingin bersendirian.

            Lama dia bermenung. Menungan itu membawanya ke suatu daerah lain. Imbauan itu jauh membawanya kepada si matahari. Jarang dia terlepas untuk mengagumi keindahan matahari. Matahari itu menemukannya kepada kedamaian. Membuatnya terasa ingin ada cita dan impian. Ah, sekejap sahaja kedamaian itu datang. Kemudian, dia kembali menjalani rutin hidupnya yang biasa. Arak, rokok, perempuan, keseronokan dan adrenalin. Sudah satu kemestian buatnya.

            Cuma, sejak akhir-akhir ini, dia perasan cahaya sang mentari bersinar lebih terang daripada biasa. Menusuk terus memanah ke relung hatinya. Tidak keterlaluan. Bahkan menghangatkan.

            Tiga.
Dua.
Satu.
Sifar.

Dunia khali sebentar. Ruang seakan divakum. Bunyi lenyap metah.  Dia kaget.  Segala yang mempunyai jirim tegak, kaku di posisi masing-masing. Sekalian manusia yang galak berdansa hilang lenggoknya. Yang tinggal hanya patung-patung pelbagai aksi berkesiuran.  Masa seakan dihentikan buat mereka. Jantung pemuda berdetap kencang. Lebih hebat daripada kencangan letusan Gunung Merapi. Apa yang telah terjadi? Adakah dunia sudah kiamat?

Ketakutan kian menggila. Satu perkataan sahaja yang dapat mengungkap perasaannya ketika itu. Menyesal. Dia terjelepuk di lantai, kaki gagal menahan ketar. Otak tidak berfungsi. Aku mahu hidup, hatinya menggema. Lantas dia merangkak, meraba-raba mencari jalan keluar. Dia tidak mahu mati lagi. Dia belum bersedia. Masih banyak tugasnya yang belum selesai. Dia mahu jadi seperti matahari pujaannya. Menjalani kehidupan yang memberi erti yang nyata.

Dia terlongo, sejurus keluar daripada kelab malam itu. Luar kesedaran. Luar kewarasan. Cakera merah matahari padam terus. Yang jelas hanya kekaburan bayang gelap sang bulan menutupi matahari. Kegelapan memeluknya erat-erat. Fenomena apakah yang sedang berlaku? Akan berakhirkah kehidupanku? Hatinya bergoncang hebat. Air mata merembes keluar daripada empangan kelopak mata tanpa dapat ditahan.

Retina matanya semacam mengesan sinar cahaya matahari membentuk cincin bercahaya sekeliling bayangan bulan. Serentak kepalanya diangkat, didongak ke atas langit. Matanya terkatup sendiri. Sangat menyilaukan. Cahaya itu bersinar garang. Enggan memberi ihsan kepada yang memandang. Automatik, kepalanya menunduk kembali. Tidak mampu menahan silauan cahaya sang mentari.

“Kau pemuda bacul!”. Suara itu kuat menerjah gegendang telinganya. Pucat lesi digertak sebegitu rupa. Hampir lesap seluruh semangat kekuatannya.

“Siapa kau? Apa yang kau mahu dariku? Apa yang telah kau lakukan kepadaku dan seluruh isi  bumi ini?”. Suaranya terketar-ketar menjawab. Dia hilang arah dan tenggelam punca akan situasi yang menimpanya.

Matahari ketawa mengejek. “Apa yang telah aku lakukan? Engkau pemuda, kaulah sebenarnya punca. Kau biarkan dunia dilanda gerhana. Gerhana yang tiada penamatnya. Bisu, kelu, kematu mendiami dirimu. Kesaksianmu membisu. Hedonisme mengakari pemikiranmu. Kau biar jiwamu ditawan nafsu. Matlamatmu dikekang mandulnya mimpi. Sedih. Kau lemas dalam permainan emosi. Marah apabila hak peribadimu dicabar tetapi lebih pantas mendiamkan diri ketika maruah agama dicabul, maslahah ummah diabai.”

“Apa maksud kau? Aku tidak mengerti.” Dia menjawab lagi. Sungguh, dia dalam kebodohan yang jelas. Dia mengeleng-geleng longlai.

“Apa yang telah kau pelajari sebagai mahasiswa? Apa yang telah kau sumbang sebagai pemuda? Cuba ingat kembali apa yang telah kau peroleh dan telah kau usahakan? Adakah kau bertanya kepadaku salah dan betul perbuatanmu kerana kau sendiri tidak dapat membezakan antara hak dan batilnya? Lalu, untuk apa kau pergi ke universiti? Untuk bersuka-ria?” Matahari terus memerli.

Dia tertunduk malu. Dia mengeluh. Kelu lidahnya. Esak tangis menguasai diri. Betapa hidupnya telah disia-siakan selama ini. Seharian, dia berhempas-pulas menyiapkan segala macam tugasan yang diberikan pensyarah semata-mata hanya untuk tuntutan akademik dan sijil. Pergi ke kelas semata-mata untuk memenuhkan peratus kehadiran. Kuliah dianggap tidak lebih daripada bebelan-bebelan tidak berguna.  Habisnya, di bilik, dia tidur. Alasannya, letih. Paling tidak pun, dia menyanyi sambil bermain gitar kesayangannya. Biarkanlah dunia asal dia bahagia.

            Budaya ‘pakwe-makwe’ sudah dianggap trend. Cinta itu segalanya. Kononnya menyandarkan cinta kepada Yang Esa. Akhirnya rosak disaluti dosa. Mana tidaknya, setiap saat dan masa berkepit bersama. Perintah dan larangan diwaras menurut kemahuan. Ke tempat karaoke, pusat-pusat video, wayang. Seronok. Bagai tiada batas dan penghujung. Seolah berada di syurga. Tiada bebanan. Tiada tanggungjawab. Wujud hanya keseronokan.

            Sayu merenggut-renggut tangkai hati. Rasa tidak berdaya menutup seluruh pori-pori. “Aku sedar wahai Matahari. Malah, aku salah seorang pemujamu. Aku ingin jadi sepertimu. Namun aku tidak mampu. Aku benar-benar tidak tahu di mana harus ku mula?”

             “Jangan jadi lemah, wahai pemuda. Kita adalah sama. Aku adalah sejarahmu. Tidak cukup sekadar memujaku. Kembalilah tegak bersandar iman dan fitrah. Jangan kau ingkari iman menyala di dalam diri bahawa Al-Quran dan Sunnah petunjuk kepada pembinaan Generasi Rabbani. Jangan kau turut fitrah pacuan nafsu agar tunduk pada keinginan diri. Celikkan matamu luas-luas. Bukan mata jasadi yang tidak dapat melihat malah mata hati lah yang telah buta. Utamakan yang utama. Kerana semua itu utama, jangan diremeh yang kecil lalu terabai yang besar.”

Bangkitlah wahai pemuda dengan roh Islam! Korbankan perasaanmu. Perjelaskan matlamatmu. Tinggalkan hedonisme jauh-jauh. Jangan kau pernah lupa kesaksian membisu ini pernah memberontak hingga ke seluruh pelosok dunia. Bahang suria semangat ini melebur kekufuran. Percikan apinya membakar rentung diktator kezaliman. Silauan keadilannya membutakan pencabul keamanan.

Rantau Filipina menyanjung Jose Rizal sebagai penggerak kebangkitan patriotik mahasiswa. Rejim korup Dr. Syngman Rhee yang berkuasa selama 12 tahun juga turut bergolek disepak mahasiswa Korea Selatan. Peristiwa Black Friday menyaksikan gerakan mahasiswa berperanan menjatuhkan kerajaan Shah Iran yang zalim di Iran. Gerakan mahasiswa di Universiti Trisakti turut mencetus keruduman 32 tahun pemerintahan diktator Soeharto di Indonesia.

Alangkah, yang namanya mahasiswa itu sanggup gugur buat membela hak asasi manusia di parlimen hingga tumbang Rejim Papandreou di Yunani. Mahasiswa itu juga, boleh jadi tokoh muda revolusioner Che Guevara yang melawan diktator Batista di Amerika Latin. Malah dengan mengorbankan nyawa, mahasiswa di Turki berhasil menggulingkan Bapak Menderes yang korup. Lalu mahasiswa yang bagaimana kamu ini? Bilakah lagi masanya?”

“Ya, aku ingin jadi seperti itu. Aku ingin menjadi pemuda dan belia Islam yang melakar sejarah, mengubah dunia kembali bertauhid pada Rabb. Menyambung kembali warisan kepemudaan Islam.”

“Ingat janjimu wahai pemuda Islam yang dijanjikan”. Ayat itu bersipongang ke seluruh dunia. Saat gerhana beransur pergi. Dan matahari bersinar kembali.



Nor Atisha binti A.Aziz, BIOTECH(1st year)
Asisst. Head Education & Welfare PROFAZ 13/14
#Nota : Karya ini mendapat Tempat Pertama dalam Pertandingan Menulis Cerpen Amal Islami 2012 di CFS IIUM PJ.

...read more

KAMPUS IDEAL SUATU IMPIAN


Setiap mahasiswa mengimpikan suasana kampus yang ideal yang menjadikan kita berasa selesa dan kondusif untuk tempoh proses pembelajaran sama ada 4 atau 5 tahun. Sebagai seorang muslim, menjadi kewajipan untuk kita meletakkan prinsip-prinsip yang perlu ada dalam kampus ideal ini. Prinsip ini pula perlulah selari dengan apa yang dikehendaki oleh Allah melalui para rasulNya.

Sayyid Qutb didalam Tafsir Fi Zilalli-Qur’an menyebut ‘Manhaj (Prinsip dan sistem) Allah yang terakhir yang dibawa oleh Islam ini menjadikan seluruh alam semesta (termasuk didalamnya manusia) menegakkan syariat Allah, bukan syariat yang dibuat oleh selain dari-Nya’.

Justeru, kampus ideal boleh dirujuk sebagai adanya penegakkan syariat Allah yang dimana di situ ruh Islam hidup di hati-hati manusia, budaya intelek bergerak rancak dengan integrasi ilmu yang mapan serta suasana ukhuwwah yang merentasi taraf, bangsa, pangkat, tempatan dan internasional.

Firman Allah S.W.T dalam Surah As-Saff:
Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berperang di jalan-Nya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kukuh.” (as-Shaff 61:4)

Melalui ayat ini, Allah telah mempamerkan tabiat agama Islam bahawa ketika hendak mencapai sesuatu matlamat, maka perlu wujud kumpulan-kumpulan yang saling bantu-membantu menutup segala kelompangan yang ada serta mereka memiliki jaringan yang kuat. Oleh itu, gambaran individu yang beribadah sendirian, berjuang sendirian dan hidup sendirian merupakan gambaran yang sangat jauh dari tabiat agama ini dan dari tuntutan agama memayungi  segala aspek kehidupan.

 SRC: Cabaran dan Halatuju

Student Representative Council International Islamic University Malaysia Campus Kuantan (SRC IIUMK) atau Majlis Perwakilan Pelajar UIAMK sesi kali ini mempunyai hala tuju tersendiri dan kini sedang berusaha sedaya upaya untuk menempuh beberapa cabaran dalam mencapai hala tuju tersebut.

1.       Isu kebajikan - Isu ini merupakan suatu keadaan dijangka tidak akan berakhir selagi proses pendidikan tidak disempurnakan dengan menyeluruh kepada seluruh komuniti universiti.

2.       Perkembangan budaya ilmu yang hanya tertumpu kepada satu aspek sahaja telah membawa kepada kemunduran tahap intelek pelajar.

3.       Integrasi budaya yang suram diantara pelajar-pelajar tempatan dan internasional mahupun antara pelajar dan staff telah membawa impak serba sedikit sifat pasif dalam aktivisma dalam kalangan pelajar khususnya dan komuniti university secara amnya.

Kami sememangnya dapat melihat dan mengkaji semua persoalan yang membawa kepada kejatuhan kualiti pelajar itu sendiri. Kuasa SRC IIUMK yang menjadi wakil kepada semua pelajar sangat terbatas dalam keadaan SRC IIUMK tidak mempunyai autonomi secara jelas ke atas semua persatuan yang wujud dalam UIAM Kuantan apatah lagi persoalan kewangan yang sering menjadi dilema bagi menjayakan sesebuah program. Demikian antara cabaran yang dihadapi yang realitinya berlaku pada tenure-tenure sebelum ini sehingga kini.

Sehubungan dengan itu, kami  mempunyai  keyakinan yang tinggi untuk membawa perubahan pada tenure kali ini. SRC IIUMK mengambil keputusan untuk meletakkan beberapa Halatuju yang diharap mampu memberi kesan yang baik dan efektif.

1.       Tumpuan utama kebajikan pelajar. SRC IIUMK telah meluaskan aspek kebajikan kepada beberapa aspek iaitu rohani, intelek, pembangunan modal insan.

a.        Aspek pertama dalam kebajikan ini adalah kebajikan rohani yang merujuk kepada modus operandi dalam memperkasakan institusi masjid dan amalan sunnah harian seperti solat fardu berjemaah, zikir harian, dan ziarah-menziarahi.

b.      Aspek kedua adalah kebajikan intelek. Pekara ini merujuk kepada pembawaan diskusi berkenaan akedemik serta topik-topik isu semasa dan jalan penyelesaiannya.

c.       Aspek ketiga adalah kebajikan pembangunan modal insan iaitu lebih kepada saranan supaya memantau lebih kerap perkembangan jawatankuasa program yang lebih dinamik, mencari dan meneroka pengalaman-pengalaman baru yang hanya mampu didapati diluar kelas serta mempelajar selok-belok dalam mengendali organisasi.

2.        Perjumpaan bersama badan kepimpianan pelajar seperti MPP dan beberapa universiti yang lain. UIAMK kampus ini merupakan kampus yang masih lagi dalam fasa awal perkembangan lebih-lebih lagi SRC Kuantan yang baru dipisahkan dari  SRC Gombak amat memerlukan rujukan daripada MPP di universti yang telah lama wujud.

3.       Merangka dan melaksanakan Pelan Strategik SRC untuk beberapa tahun akan datang. Signifikan pelan strategik ini mampu menyediakan suatu wadah yang mampu mengurangkan adaptation period yang mengganggu perjalanan SRC peringkat awal selain mempunyai matlamat yang jelas bagi membawa UIAM Kuantan kearah menjadi kampus ideal.

Mengukir Impian, Merealisasi Harapan

Firman Allah dalam Surah Ar-Raa’d:
‘Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum itu, sehingga mereka mengubah apa yang ada pada mereka sendiri’ (Surah Ar-raa’d:11)

Empayar Rom tidak didirikan dengan hanya seorang Maharaja dan bukan dalam masa sehari. Negara Islam Madinah juga didirikan bukan baginda  Nabi Muhammad S.A.W seorang dan bukan dalam tempoh sehari.


Kampus ideal bukanlah sesuatu yang mampu dicapai dengan usaha satu individu. Akan tetapi memerlukan kerahan tenaga dan buah fikiran setiap komuniti universiti merentasi persatuan, pangkat, dan senioriti. Sudah pasti menuntut komitmen yang berterusan (istiqamah) ke arah merealisasikan kampus ideal. Kalau bukan kita yang mengecapi kampus ideal ini, biarlah kita menjadi batu asas kepada generasi seterusnya mengecapi kampus ideal ini.












Penulis : Nur Azam Amiruddin

Presiden SRC UIAM Kuantan 13/14


*"Artikel ini adalah merupakan respon peribadi penulis bersesuaian dengan permintaan editor blog PROFAZ."
...read more

MEMILIH UNTUK MEMBERI


          Memasuki universiti tempat belajar sekarang ini kadangkalanya bukanlah pilihan utama kita. Tak ramai yang tahu sejarah silam setiap individu sebelum ini. Ianya seribu satu warna-warni kehidupan yang kadangkala hanya berharga buat orang yang mengalaminya. Alhamdulillah hari ini kita dipilih untuk terus hidup dan membaca artikel ini.

Hidup ini adalah soal pertanggungjawaban. Semestinya, setiap tanggungjawab itu akan dipersoalkan, cumanya tanggunggan terhadap sesuatu itu hanya akan dibebankan ke atas setiap bani adam apabila kita sendiri yang boleh membuat pilihan dan telah memilih.

Tuhan tidak akan bertanyakan kita kenapa menjadi seorang lelaki atau perempuan kerana ianya adalah ketetapan yang tiada pilihan. Sebaliknya tuhan akan bertanya kenapa kita memilih berdiam diri apabila melihat tegahan dan larangan Allah berlaku sedang kita boleh bersuara. Ini adalah sebahagian contoh yang sentiasa mundar mandir dalam kehidupan kita seharian.

Kadangkala kita kecewa dengan kehidupan. Kawan yang bersama di sekolah menengah dahulunya sekarang ini ada yang sudah jadi jutawan, ada yang berada di benua eropah mencari ilmu dan ada yang sudah berkahwin sehingga beranak 2 dan 3. Memikirkan hal ini kadangkala agak mengecewakan.

Apa pun, siapa kita hari ini adalah pada pengalaman kita semalam. Pada apa kemahiran semalam yang kita tekuni dan kita manfaatkan hari ini. Pada apa ilmu yang kita pelajari semalam dan kita suluhi masa depan nanti. Ianya bukan persoalan hari ini sahaja. Kita ada semalam yang sudah lepas yang menentukan siapa kita hari ini dan esok.

Semalam, hari ini dan esok adalah hari-hari yang akan kita tempuhi selepas ini sekali lagi. Kitaran yang terpaksa kita terima. Dan kadangkala penerimaan terhenti tanpa pernah diberitahu bahawa esok tiada lagi untuk kita, hanya hari ini yang terakhir. Orang lain akan lupakan kita, sehari demi sehari, sebulan demi sebulan, sehingga memakan masa bertahun.

Dan, disini hari ini kita telah belajar banyak perkara yang mematangkan kita. Sesuatu yang kita kurang hargai dan syukuri.

Kadangkala, hidup ini kita teruskan kadangkala tanpa tujuan yang jelas. Ya, kebanyakannya tanpa tujuan yang jelas. Bahkan dalam kebanyakan ketidak jelasan tujuan hidup tersebut, kita hanya sekadar memilih untuk bercakap tentang ‘aku’ daripada ‘mereka’. Sesekali, ada persoalan ‘mereka’ yang kita sembang dan ungkapkan, tapi untuk menuding jari dan menyalahkan ‘mereka’.

Sejarah tidak pernah mengungkapkan siapakah nama 313 sahabat yang berada dalam peperangan Badr bersama nabi. Namun, mereka ini adalah orang yang mendapat pengampunan Allah dan nama mereka diingati oleh penghuni langit. Tapi, bagaimana pula dengan kita? Kita masih bercakap tentang kita, namun sahabat Badr ini adalah mereka yang memilih untuk melihat masa depan kita hari ini.

Dalam kehidupan ini, persoalan memilih untuk memberi kurang sekali kita ungkapkan. Hari ini anak-anak masuk ke sekolah rendah untuk jadi kaya, beli kereta mahal, rumah mewah, punyai gedung dan estet luas, dan seribu satu kesenangan untuk diri kita. Impian kanak-kanak dibangku sekolah ini sebenar masih kekal dan berulang-ulang dalam benak hati anak-anak di sekolah menengah sehinggalah kepada mahasiswa di Universiti-universiti luar dan dalam Negara.

Sesekali, kita cuba mengurangkan rasa ‘kehalobaan diri’ dengan memurnikan impian kita tadi dengan monolog bahawa semua yang kita idamkan ini nantinya untuk membantu ummat, menolong golongan miskin dan rakyat marhaen. Tapi, ianya sekadar sebuah trend pensucian diri yang agak popular kebelakangan ini. Kita tidak pernah pun merancang dengan teliti dan jelas impian untuk membantu orang miskin, bahkan kita tidak pernah pun hidup dan membantu rakyat marhaen dan yang tidak punyai rumah sewaktu kita di tangga universiti. Ada juga baktisiswa yang kita sertai, tapi keazaman untuk dapatkan merit dan sijil serta ‘bintang’ dalam sijil keluar university itu lebih utama, berbanding rakyat diluar sana.

Kita jarang melihat bahawa orang yang dahulunya bersama di sekolah rendah dan menengah akan turut membina sebuah sistem sosial masa hadapan dalam masyarakat kita. Kita seolah membutakan mata bahawa golongan yang tidak diberi peluang untuk turut sama mendapat pendidikan tinggi ini nantinya akan berkahwin dan melahirkan anak seperti mana kita berkahwin dan melahirkan anak. Anak mereka akan lahir bersama anak kita. Anak mereka akan dibelenggu masalah keluarga, kesempitan wang dan seribu satu masalah yang kemudiannya menyebabkan mereka lari dari rumah dan menjadi pemeras ugut, pelacur dan perompak diluar.

Sedang anak kita menerima sistem pendidikan baik dalam keluarga yang penuh suasana harmoni dari golongan bertaraf tinggi, kita ingat bahawa kita akan bahagia. Namun, sengsara bakal menemui kita dihujung sana kerana negara ini telah mewariskan bebanan kepada pilihan kita hari ini, disini, di universiti tempat kita belajar perkataan-perkataan pelik yang tidak pernah kita atau ibu bapa tuturkan sesuatu ketika dahulu, yang kita namakan sebagai ilmu untuk kita mengejar duit di dunia.


Kita lupa, bahawa tanggungjawab besar kita adalah mendidik masyarakat. Kita perlu mendidik ummat. Bahawa Islam datang dengan rahmat untuk melihat ummat ini semuanya membangun. Kayanya bersyukur dan membantu yang miskin. Meraikan perbezaan yang ada dalam masyarakat dengan sebaiknya. Inilah rahmat Islam hasil dari pilihan kita. Ianya pada bagaimana kita melihat masa hadapan kita, masyarakat dan negara; dengan memberi.












Penulis : Ahmad Fathi Mohd Salleh
Mantan Vice President I SRC UIAM 12/13


*"Artikel ini adalah merupakan respon peribadi penulis bersesuaian dengan permintaan editor blog PROFAZ."



...read more